Thursday 4 August 2011

mengapa kita perlu membaca dan memahami al-quran?

Hidup kita sebagai Muslim adalah berkenaan dengan perjanjian kita kepada Tuhan dan perjanjian Tuhan kepada kita. Dokumen kontraknya adalah Al-Quran. Jika kita kata kita percaya kepada Al-Quran, maknanya segala isi kandungan Al-Quran secara automatik mengikat kita dalam konteks perjanjian kita dengan Tuhan dan mengikat Tuhan dalam konteks perjanjian Tuhan dengan kita.
Kedua-dua belah pihak, Tuhan dan kita perlu komited kepada perjanjian ini dan semua klausa yang terkandung di dalam Al-Quran merupakan komitmen-komitmen yang perlu ditunaikan sepenuhnya oleh kedua-dua belah pihak.
Apabila kita faham konsep ini, maka kita akan sedar bahawa kitab-kitab lain, selain Al-Kitab langsung tidak relevan dalam perjanjian kita dengan Tuhan – Tuhan dengan kita. Kita hanya perlu komited terhadap komitmen-komitmen yang telah diwahyukan kepada kita melalui Al-Quran.
Ia seperti kita mempersetujui perjanjian kontrak yang biasa juga, misalnya perjanjian kontrak dalam perniagaan. Sebaik saja persetujuan dicapai, kedua-dua belah pihak perlu mengisytiharkan persetujuan mereka dan dalam konteks perjanjian sesama manusia seperti itu, ia disahkan melalui tandatangan, cap jari dan sebagainya.
Kemudian kedua-dua pihak perlu komited ke arah mencapai matlamat perjanjian mereka. Dan komitmen-komitmen mereka adalah kepada melaksanakan atau merealisasikan atau berpegang teguh segala perincian, terma, syarat dan semua klausa yang terkandung di dalam dokumen perjanjian berkenaan.
Oleh kerana Al-Quran menggariskan semua komitmen yang perlu kita tunaikan kepada Tuhan maka sudah tentulah kita perlu membaca dan memahaminya, satu persatu. Secara common sense, ia adalah perkara pertama yang kita perlu lakukan sebaik saja kita masuk ke dalam perjanjian ini. Tidak mungkin kita dapat menunaikan segala komitmen yang terkandung di dalam Al-Quran tanpa kita sendiri membaca dan memahaminya.
Dan saya percaya jalan yang terbaik untuk memahami Al-Quran adalah dengan usaha atau inisiatif kita sendiri. Kita harus ingat bahawa perjanjian kita dengan Tuhan adalah satu perjanjian peribadi di antara kita dan Pencipta kita. Ia tidak melibatkan orang lain. Oleh itu kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tafsiran orang lain. Mereka mungkin tidak ada niat untuk mematuhi perjanjian mereka sebagaimana kita. Kita tidak boleh ambil mudah dalam perkara sepenting ini.
Sebagai penutup kepada artikel pendek ini, jika anda masih belum faham apakah pada dasarnya komitmen-komitmen yang perlu kita tunaikan sebagaimana terkandung di dalam dokumen perjanjian kita dengan Tuhan, iaitu Al-Quran, ia adalah tentang mematuhi cara atau jalan hidup yang telah Tuhan tetapkan kepada kita.
Dan apakah pula komitmen Tuhan kepada kita? Komitmen Tuhan adalah untuk memberi balasan yang adil kepada setiap perbuatan kita. Yang baik walaupun hanya seberat atom akan diberi ganjaran baik dan yang buruk walaupun hanya seberat atom akan di beri balasan buruk. Itulah janji atau komitmen Tuhan kepada kita.
Berita baiknya adalah Tuhan kata, kalau kita ikut Al-Quran kita pasti akan selamat. Mudah saja, kan? Jadi mari kita sama-sama mula membaca dan memahami Al-Quran sebagaimana sepatutnya.

No comments:

Post a Comment